Oleh Noorazlina Jindeh
KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Ketidaktentuan hala tuju generasi ahli politik muda telah mengerakkan hati bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat untuk kembali aktif dalam arena politik dan memainkan peranan lebih berkesan dalam mencorakkan minda pemimpin belia.
Tidak mahu sekadar menjadi pesara politik, tokoh veteran itu kembali semula selepas 13 tahun dengan hasrat mahu mencurahkan bakti kepada golongan muda serta menjadi mentor kepada barisan pemimpin muda politik.
Tokoh politik negeri Sabah berusia 72 tahun itu gusar apabila melihat anak muda kini semakin hilang arah tujuan terutama generasi ahli politik muda menyebabkan beliau kembali untuk membawa perubahan dalam budaya berpolitik dalam kalangan pemimpin baharu.
"Saya khuatir kalau kita tidak keluar dan memberi tunjuk ajar kepada mereka (belia), mungkin mereka akan berada di jalan yang salah.
"Oleh itu, kita mesti mengambil tugas dan tanggungjawab sebagai orang yang 'sudah-sudah' (orang lama) untuk bersama-sama dengan golongan belia supaya mereka mempunyai sikap ikhlas, jujur dan tidak bengkok (tidak tersasar)," katanya kepada Bernama.
Chong, yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP), berkata keadaan politik di Sabah juga antara faktor beliau kembali aktif dalam dunia politik selepas meninggalkan bidang itu pada 2007.
Menurutnya, beliau berhasrat melahirkan barisan pemimpin muda berintelektual, integriti, cekap, amanah, dan rajin berkhidmat serta berpegang kepada janji.
Beliau berkata sebilangan pemimpin lebih banyak bercakap soal politik tanpa mengira siang mahupun malam tetapi kurang bekerja ke arah membawa perubahan yang lebih baik untuk masyarakat.
"Selama ini kita terlampau taksub, semua orang politik cakap soal politik setiap hari, setiap malam politik, kerja kurang, cakap banyak," katanya.
Justeru, beliau berkata LDP akan menyampaikan mesej kepada rakyat Sabah khususnya kepada pemimpin muda iaitu apabila bercakap, mesti ditunaikan.
Chong, yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam akan menghadapi pertandingan 10 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.
Bercerita mengenai penubuhan LDP pada 1989, Chong, yang pernah memegang jawatan sebagai presiden parti itu, berkata, beliau yang memilih warna oren pada bendera itu.
Katanya, warna itu membawa makna ketenangan, aman dan damai serta bersopan santun manakala obor pula memberi makna untuk menyemarakkan semangat.
Sementara itu, Chong berkata ahli LDP kini tidak hanya khusus untuk masyarakat kaum Cina sahaja tetapi lebih terbuka kepada bangsa lain termasuk Bumiputera.
Katanya, LDP tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain yang membolehkan parti itu dapat membuka ruang kepada kaum lain tanpa kekangan.
Mengulas mengenai penglibatan ramai calon bertanding di setiap DUN pada pilihan raya kali ini, Chong berkata ia menunjukkan sistem demokrasi negara masih subur.
Beliau berkata setiap individu perlu diberi peluang untuk bertanding dan pengundi mempunyai pilihan untuk memilih calon terbaik.
Pada edisi ke-16 PRN Sabah ini, LDP bertanding di 46 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN dengan terdiri daripada 12 calon Cina, 13 Bumiputera muslim dan 21 Kadazandusun Murut.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights