Dana Peladang Kebangsaan agih RM7.7 juta dividen pada 2019

17/09/2020 01:20 PM

BEAUFORT, 17 Sept -- Dana Peladang Kebangsaan (DPK), sebuah pusat pengumpulan dan penggunaan dana di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.29 juta dengan keseluruhan agihan dividen sebanyak RM7.7 juta pada 2019.

NAFAS dalam kenyataan hari ini menyebut jumlah dividen itu menyaksikan peningkatan sebanyak 1.3 peratus berbanding RM7.6 juta pada 2018.

Menurut NAFAS, walaupun tahun 2019 sukar dan didominasi ketidaktentuan pasaran, DPK meneruskan fokus terhadap strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan serta pulangan memberangsangkan kepada ahli.

“Adalah menjadi kebanggaan DPK kerana mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut dari 2017 iaitu 8.7 peratus.

“Oleh itu, NAFAS menggalakkan warga tani agar mendaftar sebagai Ahli Peladang di Pertubuhan Peladang Kawasan sekali gus berpeluang membuka akaun pelaburan di bawah Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) serta memohon produk pembiayaan DPK,” katanya.

Kenyataan itu menyebut DPK sentiasa berusaha mempertingkat prestasi untuk menjadi lebih kukuh.

Justeru, DPK telah mula mempelbagaikan aktiviti pelaburan dengan alternatif pelaburan yang berisiko rendah dan sederhana rendah serta meneroka produk pembiayaan baharu.

“Mekanisme itu akan memberi manfaat kepada pelabur sekali gus berpeluang menikmati dividen lebih konsisten setiap tahun,” menurut kenyataan itu

Sementara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kadar dividen sebanyak 8.1 peratus bagi SPKP, antara skim di bawah DPK, bagi tahun kewangan berakhir 2019.

“Perkara ini sememangnya sesuatu pencapaian yang amat memberangsangkan khususnya bagi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS),” katanya dalam satu majlis bersama peladang di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy