Isu bekalan air bersih: Ada alternatif lebih proaktif selain bina empangan - Mositun

17/09/2020 08:49 PM

PAPAR, 17 Sept -- Calon Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau Datuk Johnny Mositun berkata masih terdapat alternatif lebih proaktif bagi menangani masalah bekalan air bersih di sekitar kawasan Pantai Barat Sabah selain membina Empangan Papar.

Beliau berkata alternatif itu termasuk memperbanyak takungan dan loji rawatan air kerana langkah tersebut dilihat lebih proaktif serta kos efektif manakala air sungai yang deras boleh terus mengalir seperti biasa tanpa disekat di empangan.

Merujuk loji rawatan air di Kampung Kogopon dekat sini, Mositun berkata air di Sungai Kaiduan akan disedut dan diproses di loji itu sebelum disalurkan untuk kegunaan penduduk di daerah tersebut serta kawasan sekitarnya.

"Ini adalah satu daripada kaedah untuk kita menangani masalah bekalan air. Kalau kita lihat dari Kampung Kaiduan ke Papar ini, banyak tempat kita boleh bina takungan dan loji rawatan air. Ia tidak akan menjejaskan (kawasan kampung) berbanding membina empangan yang begitu besar.

"Saya rasa cara ini tidak akan melibatkan kos tinggi selain tidak merisaukan masyarakat di sini. Sungai tidak akan terjejas dan boleh terus mengalir. Aktiviti pelancongan juga dapat dijalankan," kata Naib Presiden PBS itu kepada Bernama baru-baru ini.

Bekas Timbalan Speaker DUN Sabah itu juga berkata beliau akan memanfaatkan sepenuhnya projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, yang antara lain melibatkan jajaran di sepanjang Jalan Papar Lama dalam DUN Limbahau untuk melonjakkan lagi ekonomi penduduk setempat.

Ini termasuk membina bangunan komersial di sepanjang lebuh raya itu bagi membolehkan penduduk berniaga sekali gus meningkatkan sumber pendapatan mereka, katanya.

Mositun berkata beliau akan memastikan sebuah sekolah menengah akan dibina di DUN Limbahau dengan klinik kesihatan di kawasan berhampiran untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat.

Beliau akan bersaing dengan tujuh pencabar lain dalam pertarungan lapan penjuru bagi merebut kerusi DUN Limbahau yang mempunyai sejumlah 12,739 pengundi pada PRN Sabah, 26 Sept ini.

Mereka ialah Datuk Juil Nuatim (Warisan), Cornelius Frederick @ Michael Fj Sulip (LDP), Susanna Jainim Jaris (USNO), Aubrey G Sham (PCS), Evelyn June Charlie (Gagasan) serta dua calon Bebas iaitu Pius Lokiom dan Luarence Onjuman.

-- BERNAMA

 

 


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy