KALABAKAN, 20 Sept -- Meskipun berdepan lima pencabar termasuk penyandang dalam usaha merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, calon muka baharu Mohamad Jalani Chachu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) sedikit pun tidak berasa gentar akan situasi itu.
Mahu dikenali sebagai Cikgu Jay, beliau yakin akan berjaya menambat hati pengundi seterusnya memenangi kerusi itu serta menumbangkan penyandang Sarifuddin Hata daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, dan Tan Sri Liew Yun Fah kini calon Parti Harapan Rakyat Sabah, juga pernah menang di DUN tersebut pada PRU 2004.
Bagi Mohamad Jalani, gerakan mendekati rakyat di sekitar DUN Merotai telah dilaksanakan lebih awal dan sehingga kini, momentum itu terus meningkat dan para pengundi melihat Kerajaan Persekutuan pimpinan PN sebagai pemerintah yang prihatin terhadap rakyat.
"Saya tidak berasa gentar berhadapan mantan wakil rakyat, saya hanya perlu fikir tentang rakyat dan manfaat yang boleh diperoleh rakyat," katanya ketika ditemui di Kampung Haji Matahir di sini.
Beliau berkata banyak perkara perlu dilakukan di DUN Merotai yang membabitkan kepentingan rakyat dan ia mampu dilaksana dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.
"DUN Merotai ini banyak yang boleh dibangunkan, kemudahan asasnya masih ketinggalan, misalnya jalan raya masuk kampung dan capaian telekomunikasi yang perlu dinaik taraf.
"Saya juga mahu klinik kesihatan yang ada di Merotai ini dinaik taraf untuk menampung keperluan penduduk, selain itu keperluan sekolah perlu dipertingkat, ada sekolah tidak ada dewan dan ini menyebabkan pelajar sukar melaksanakan aktiviti sewaktu hujan," katanya.
Mohamad Jalani juga berhasrat mewujudkan sebuah sekolah agama Islam di Merotai jika diberi mandat pada 26 Sept ini.
Katanya sebelum ini, tindakan beliau meminta agar sebuah balai bomba diwujudkan di DUN Merotai telah mendapat maklum balas kerajaan apabila peruntukan bernilai RM8.9 juta diluluskan bagi pembinaan premis itu.
Beliau yakin mampu membawa perubahan dalam landskap pembangunan di DUN Merotai.
Pada PRN Sabah yang berlangsung Sabtu depan, selain Sarifuddin, Liew dan Mohamad Jalani, kerusi DUN Merotai turut direbut Hafeezatul Halimah Mohamad (USNO), Shim Nyat Yun (LDP) serta Abdullah Palile (PCS).
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights