PAPAR, 21 Sept -- Bait menarik dalam lagu Bajau ‘Jomo Bioso’ (orang biasa) sentiasa menjadi pegangan buat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, sejak dipilih menjadi wakil rakyat empat penggal berturut-turut sejak 2004.
Bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN- Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-16, Ghulam berkata bait lagu itu antara lain mengingatkannya supaya sentiasa sedar diri bahawa rakyat itu ‘raja’ dan wakil rakyat perlu berkhidmat kepada golongan tersebut dan bukan sebaliknya.
“Lirik lagu itu antara lain bermaksud bahawa kita adalah orang biasa, tiada yang tinggi rendah tetapi yang lebih itu Allah. Jadi ia mengingatkan kita semua bahawa kita ini sama sahaja. Jika kita wakil rakyat yang dipilih, kita ini bukan yang berhormat, tetapi yang berkhidmat kepada rakyat. Kita ini adalah petugas kepada masyarakat.
“Rakyat adalah ‘raja’ di hati wakil rakyat. Lagu ini menusuk kalbu saya dan memberi peringatan dan petunjuk supaya jangan lebih-lebih, kerana masyarakat pilih kita, kita kuli mereka,” katanya yang akan mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal kelima.
Ditemui Bernama sewaktu menyantuni pengundi di kawasan Pengalat Besar, kira-kira 30 kilometer dari Kota Kinabalu, Ghulam, bekas Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu percaya 14,932 pengundi di kawasan itu bijak membuat keputusan Sabtu ini.
Tegasnya, walaupun berdepan dengan tentangan hebat calon-calon muda, Ghulam meletak rekod perkhidmatannya untuk dinilai masyarakat bagi meneruskan kemampuannya sebagai penyandang kerusi tersebut.
Ghulam berdepan Musli Sapan dari Warisan, Abd Rahim Lasim (PCS), Awang Arip Nasib (USNO) dan bekas wartawan, penyampai radio dan penyanyi Janrywine J. Lusin dari Parti Liberal Demokratik (LDP).
Pada pilihan raya lalu, Ghulam yang ketika itu berada di bawah BN-UMNO mengekalkan kerusi Kawang setelah memperoleh 10,388 undi untuk kemenangan majoriti 2,862.
DUN Kawang, Limbahau dan DUN Pantai Manis terletak di bawah kawasan pilihan raya Parlimen Papar.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights