PRN Sabah: Tindakan Mohamaddin pembohongan dan hasutan - Azmin

21/09/2020 06:42 PM

KOTA KINABALU, 21 Sept -- Tindakan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi menyifatkan pencerobohan bersenjata ke atas wilayah negara sebagai satu sandiwara adalah satu pembohongan dan hasutan untuk memecahbelahkan perpaduan dan kesatuan rakyat.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia juga mencerminkan bahawa Warisan tidak komited untuk mempertahankan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat Sabah.

Beliau berkata pada sama, ucapan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini, juga telah mempersendakan pengorbanan anggota keselamatan negera serta menghina jasa dan pengorbanan setiap anggota yang terkorban.

"Saya yakin, keluarga besar pasukan keselamatan negara khususnya mereka yang terkorban dalam pertempuran itu serta seluruh rakyat Malaysia yang patriotik tidak boleh menerima keceluparan beliau.

"PN mendesak Mohamaddin menarik balik kata-kata penghinaan itu dan segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam menjalankan tanggungjawab suci mempertahankan tanah air," katanya, dalam kenyataan, di sini hari ini.

Rakyat Sabah, katanya, mesti menolak sesiapa saja yang cuba mempermain-mainkan kedaulatan dan keselamatan negara untuk tujuan politik sempit.

Azmin, yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata peristiwa hitam di Tanduo, Lahad Datu itu telah mengakibatkan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dengan penceroboh militan dari Filipina sehingga mengorbbankan 12 anggota keselamatan dan orang awam serta mencederakan ramai anggota lain.

“PN bertegas bahawa perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan keutuhan wilayah merupakan tanggungjawab suci setiap anak watan yang cintakan kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya.

Video ucapan Mohamaddin mendakwa kononnya peristiwa pertempuran di Tanduo itu sebagai sandiwara dalam ceramahnya pada kempen PRN Sabah itu tular di media sosial.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy