Pengundi awal polis di IPK Sabah diminta mengundi ikut jadual

21/09/2020 06:44 PM

KOTA KINABALU, 21 Sept  -- Pengundi awal dalam kalangan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah diminta hadir mengundi esok mengikut jadual pengundian ditetapkan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi mengekang penularan COVID-19.

Pegawai Penyelaras Undi Pos dan Undi Awal IPK Sabah ACP Abdul Ghani Ahmad berkata 1,444 pengundi awal berkenaan telah diarahkan supaya mengikut jadual yang disediakan oleh pihak IPK Sabah.

“Kita telah mengeluarkan arahan agar setiap pegawai dan anggota keluar mengundi mengikut jabatan masing-masing. Bagi pusat pengundian awal polis di kawasan yang lain, tiada masa tetap yang disediakan kerana jumlah mereka agak sedikit berbanding di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau pusat mengundi awal itu di Kompleks Perumahan Pegawai Kanan Polis IPK Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan Robert Stidi berkata persediaan di pusat pengundian awal IPK Sabah berjalan lancar.

“Kita telah melakukan persiapan sejak pagi tadi termasuk membuat semakan peti undi dan pengagihan peralatan kepada 46 petugas,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah menyediakan persiapan untuk mencegah penularan COVID-19.

“Kita telah menyediakan tempat saringan dan sesiapa sahaja yang didapati bergejala akan kita serahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di sini esok,” katanya.

Beliau berkata selepas proses pengundian awal esok selesai, peti undi berkenaan akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Penampang dan proses penjumlahan akan dilaksanakan di Mahkamah Anak Negeri Penampang Sabtu ini.

Pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula esok dengan seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka akan mengundi di 55 pusat mengundi.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy