PAPAR, 22 Sept -- Sebut sahaja Limbahau, sudah pasti penduduk di sini dan daerah berhampiran akan terbayang dengan keindahan hamparan padi menghijau di sepanjang Jalan Papar Lama, antara laluan alternatif menghubungkan Kota Kinabalu dengan bahagian pedalaman atas dan selatan negeri Sabah.
Tidak keterlaluan jika dikatakan peranan sektor tanaman padi di Limbahau sama seperti jelapang padi di Kota Belud dan Terusan Sapi di Beluran, sebagai antara pengeluar terpenting sumber makanan ruji di negeri ini.
Atas sebab itu, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau Datuk Johnny Mositun mahu memperjuangkan usaha memperkasa pembangunan industri padi di kawasan berkenaan.
Mositun berkata Kampung Limbahau dan Kampung Rampazan adalah antara kawasan penanaman padi terbesar dan terkenal di daerah ini yang perlu dibangunkan bagi membolehkan sektor tanaman padi di situ dapat diurus secara lebih efisien, sistematik dan moden.
"Kita akan ambil perhatian perkara itu kerana banyak kemudahan asas diperlukan terutama sekali perparitan dan sistem pengairan di sini supaya penanaman padi akan lebih teratur," katanya kepada Bernama ketika berkongsi aspirasi beliau membangunkan DUN Limbahau jika diberi peluang menerajui kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
Naib Presiden PBS, yang juga bekas Timbalan Speaker DUN Sabah itu, berkata kerajaan harus mengambil perhatian usaha memperkasakan pembangunan dan aktiviti penanaman padi ini memandangkan ia satu keperluan penduduk selain langkah meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mositun juga mahu memainkan peranan dalam menggalakkan golongan belia di DUN Limbahau untuk berkecimpung dalam bidang pertanian moden, selain daripada membangunkan infrastruktur asas seperti jalan raya berturap, sekolah dan klinik untuk keselesaan penduduk di kawasan itu.
Mositun, 63, akan bersaing dengan tujuh pencabar lain dalam pertarungan lapan penjuru bagi merebut kerusi DUN Limbahau yang mempunyai sejumlah 12,739 pengundi.
Mereka ialah Datuk Juil Nuatim (Warisan), Cornelius Frederick @ Michael Fj Sulip (LDP), Susanna Jainim Jaris (USNO), Aubrey G Sham (PCS), Evelyn June Charlie (Gagasan) serta dua calon Bebas iaitu Pius Lokiom dan Luarence Onjuman.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights