PRN Sabah: Garis panduan pencegahan COVID-19 kekal terpakai

23/09/2020 05:23 PM

KOTA KINABALU, 23 Sept  -- Garis Panduan Pencegahan COVID-19 sepanjang urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang disiarkan pada 11 Sept lepas adalah kekal dan  terpakai selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagaimanapun bagi kawasan Zon Merah, kempen rumah ke rumah perlu dikurangkan dan hanya seorang atau dua orang sahaja dibenarkan masuk ke rumah bagi menjalankan kempen dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal. 

"Begitu juga bagi aktiviti ceramah yang dihadkan hanya kepada 30 orang tertakluk kepada permit  yang dikeluarkan pihak polis. Calon digalak memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media sosial," menurut kenyataan itu. 

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya satu atau dua individu sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam rumah apabila membuat kempen rumah ke rumah untuk PRN Sabah.

Pada 11 Sept lepas, SPR telah mengeluarkan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan dengan ketat sepanjang tempoh PRN Sabah sehingga Sabtu ini. 

Antara perkara utama yang diberi keutamaan dalam garis panduan itu ialah pematuhan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, proses saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran bagi semua aktiviti serta proses berkaitan pilihan raya. 

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy