Oleh Noorazlina Jindeh
RANAU, 24 Sept -- Majoriti penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan masih teguh menyokong Datuk Seri Masidi Manjun, yang mempertahan kerusi itu untuk kali kelima dan mereka bakal menterjemahkannya dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
Tinjauan Bernama di DUN Karanaan serta temu bual dengan penduduk tempatan mendapati sumbangan dan jasanya sebagai wakil rakyat selama empat penggal di kawasan itu sejak 2004 merupakan antara faktor utama mereka tetap mahu memilih beliau pada PRN Sabah ke-16 ini.
Banyak perubahan telah dibawa untuk penduduk di Ranau khususnya Kampung Karanaan dan kawasan sekitar dari segi kemudahan infrastruktur seperti jalan raya berturap serta bekalan elektrik dan air, kata seorang penduduk Japilin Lajim, 60.
Masidi sentiasa dekat di hati masyarakat kerana beliau sentiasa mengambil berat tentang kebajikan penduduk.
"Sebab itulah penduduk di sini sayang dengan dia (Masidi) dan kami memang akan menolak sekiranya ada calon dari pihak lain yang datang berkempen di sini," katanya ketika ditemui Bernama.
Japilin berkata 90 peratus penduduk di Karanaan memberi sokongan penuh kepada Masidi kerana mereka telah melihat sendiri pembangunan yang dibawa ke kawasan itu oleh beliau termasuk pembinaan masjid dan sekolah.
Seorang lagi penduduk, Jumainih Haji, 39, berkata Masidi tidak pernah mungkir janji untuk membantu rakyat.
Malah beliau akan mengeluarkan perbelanjaan sendiri jika terdapat keperluan mendesak seperti membantu membina rumah penduduk yang uzur atau terbakar.
"Beliau tidak pernah berjanji kosong, kalau dia bilang OK, pasti ada bantuan sampai. Kalau bukan dia, pasti wakil beliau akan datang menyampaikan bantuan," katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah Nurfaizah Abdullah, ketika dihubungi, tidak menolak kemungkinan Masidi diberikan mandat sekali lagi untuk menduduki kerusi DUN Karanaan.
Nurfaizah berkata trek rekod Masidi yang bersih dan baik sepanjang menjadi wakil rakyat turut menjadi faktor utama beliau mendahului pilihan pengundi berbanding calon lain.
"Orang Ranau pun senang dengan dia, jadi tidak hairan kalau Karanaan pilih dia semula. Lebih-lebih lagi sebelum ini Masidi pernah menang di sana (Karanaan).
"Kalau dulu mungkin orang fikir untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) saja, tetapi sekarang berbeza sebab Masidi dari Perikatan Nasional biarpun bergabung dengan BN. Ada sesetengah tempat mungkin Parti Warisan boleh menang, tetapi di Karanaan Masidi masih boleh menang," katanya.
Beliau berkata slogan kempen Masidi ‘kita orang Ranau’ juga bertepatan dengan masyarakat setempat selain memilih untuk menggunakan Bahasa Dusun semasa berkempen.
Untuk rekod, Masidi mula bertanding di kerusi itu pada 2004 dan mempertahankannya pada Pilihan Raya Umum 2008, 2013 dan 2018 atas tiket Barisan Basional (BN) mewakili UMNO.
Beliau pernah menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Masidi juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Institut Pengajian Pembangunan (IDS) Sabah dari 1994 hingga 2004 selain menjadi ahli lembaga pengarah Bank Pembangunan Sabah pada masa yang sama.
Pada 3 Ogos lepas, beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dan dalam parti politik, beliau merupakan Timbalan Ketua Penyelaras Bersatu Sabah.
Pada PRU 2018, Masidi yang meraih 6,849 undi, menang dengan majoriti 3,782 undi.
Kali ini beliau ditentang tiga calon lain dalam pertandingan empat penjuru iaitu Mohd Tajuddin Sadi daripada USNO, Mohd Hadzrul Masnin (PCS) dan Awasi Ganie@Yasin Abdul Ghani (Warisan) di DUN Karanaan yang mempunyai 13,425 pengundi.
PRN Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN negeri itu pada 30 Julai iaitu sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai jumlah wakil rakyat yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan negeri baharu.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights