PRN Sabah: 'Aspirasi Nasional vs Realiti Politik'

24/09/2020 06:03 PM

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KOTA KINABALU, 24 Sept -- Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis ramah mesra di kawasan DUN Luyang di sini, meminta rakyat Sabah menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini sebagai titik perubahan ke arah masa depan negeri itu yang lebih baik.

Terdahulu di Kuala Lumpur sebelum terbang ke Sabah, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM10 bilion Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin bagi menyuntik ekonomi rakyat yang masih terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pada hari yang sama, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di ibu negara mendakwa beliau sudah mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu, sekali gus menimbulkan huru-hara politik ketika situasi ekonomi negara masih dalam keadaan bertahan pasca gelombang kedua COVID-19.

Sejurus pengumuman dibuat oleh ketua pembangkang itu, indeks KLCI jatuh 10.5 mata.

Kedua-dua senario di atas membuktikan kepentingan kerajaan Persekutuan dan aspirasi nasional dalam mendukung pembangunan Sabah, sekali pun sentimen kenegerian agak kuat di Negeri di Bawah Bayu ini ketika PRN berbaki dua hari lagi.

Sekurang-kurangnya, ini analisis mudah yang penulis dapat simpulkan selepas menelaah sentimen pengundi berdasarkan temu bual dengan anak Sabah yang bermastautin di Semenanjung Malaysia, pengundi di sini, pemerhati politik tempatan dan analisis sentimen parti politik bertanding.

“Isu siapa kerajaan pusat itu penting kerana kerajaan negeri (Sabah) perlu bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk ke depan,” kata pemerhati politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung kepada penulis.

Lee menyifatkan pengumuman Anwar sebagai tidak lain daripada hanya strategi politik licik yang bertujuan untuk mengalih tumpuan dan mengelirukan pengundi di Sabah.

Harus diakui pengumuman mengenai kedudukan di Dewan Rakyat, sekalipun hanyalah sebuah pengumuman politik yang tidak dijelaskan perinciannya, memberikan impak signifikan kepada pengundi yang mempunyai tempoh kurang 48 jam untuk membuat keputusan.

Berdasarkan pengalaman liputan PRN Sarawak sebelum ini serta beberapa siri PRU (Pilihan Raya Umum) dan PRK (Pilihan Raya Kecil) sejak 2004, penulis perlu mengakui bahawa politik di negeri di Sabah ini mempunyai cabaran dan dinamiknya yang tersendiri.

Persoalan dinamik di Sabah bukan hanya tentang angka jumlah parti (16 parti bertanding) atau 447 calon yang bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan purata enam calon bagi setiap kawasan dipertandingkan.

Ia juga berkait dengan soal tindakan politikus yang berubah pegangan dan boleh menukar haluan atau sokongan politik selain isu kenegerian yang sangat dekat dengan hati dan minda pengundi.

Sebelum dakwaan Anwar semalam, persoalan mengenai isu menghina anggota keselamatan dengan dakwaan kononnya peristiwa Tanduo di Lahad Datu sebagai “sandiwara”, isu MA63, isu pendatang tanpa izin (PTI), isu kemiskinan, isu bantuan kerajaan persekutuan, isu geran tanah dan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah, telah dilaporkan mendominasi kempen calon bertanding.

Pun begitu temu bual penulis dengan pengundi mendapati persoalan agenda nasional, kedudukan ekonomi pasca COVID-19, peluang pekerjaan dan isu pemimpin politik yang lompat parti menjadi pertimbangan utama pengundi, khususnya pengundi muda, yang mewakili hampir 40 peratus daripada lebih 1.12 juta pengundi di Sabah.

“Pilihan raya negeri inipun diadakan selepas DUN Sabah dibubarkan kerana ada (wakil rakyat) lompat-lompat. Ini yang kami tidak suka. Kerajaan (negeri) bagi saya sama saja, tapi kalau boleh utamakan anak tempatan,” kata Nor Azman Sakka, 25, seorang pengundi di kawasan DUN Petagas di bawah kawasan Parlimen Putatan, Kota Kinabalu.

Nor Azman yang akan mengundi kali kedua pada Sabtu ini (kali pertama mengundi pada PRU Mei 2018) bekerja sebagai pemandu e-panggilan sepenuh masa selepas berhenti kerja tetap dengan sebuah syarikat swasta yang beliau dakwa memperlakukannya secara tidak adil.

Dulu beliau dibayar gaji RM1,750 dan bekerja sehingga lewat malam tanpa sebarang bayaran elaun tambahan masa, tetapi beliau boleh mendapat pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dengan menjadi pemandu perkhidmatan itu.

“Itu dulu sebelum COVID-19, sekarang pelancong sudah tiada. Pendapatan turun. Sebab itu saya bersyukur dengan bantuan Prihatin (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat),” kata Nor Azman, anak jati Putatan yang memiliki diploma kemahiran daripada sebuah insitusi pengajian di Johor.

Nor Azman antara ribuan penerima bantuan one-off atau sekali untuk pemandu e-panggilan RM500 dan bantuan individu bujang RM800 (beliau mempunyai pendapatan purata di bawah RM2,000 sebulan) yang terkesan akibat COVID-19.

Analisis sentimen pengundi sebuah parti politik yang diperolehi penulis menunjukkan Muhyiddin diterima rakyat Sabah dengan sebahagian besar sokongan dikaitkan dengan kejayaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengendalikan impak COVID-19 melalui bantuan Prihatin dan Penjana yang dilihat telus dan sampai kepada pengundi.

Analisis sama juga menunjukkan Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendapat sokongan pengundi tempatan khususnya di kawasan kubu kuat Warisan di pantai timur Sabah.

“Saya tidak kisah siapa yang menang. Apa yang saya nak adalah mereka kotakan janji bila menang nanti. Masalahnya bila menang jawatan atau kerusi (DUN), mereka tidak kotakan janji. Bila kita minta bantuan, kata tiada peruntukan,” kata aktivis belia Fazlan Thomas, 32, yang mengundi di DUN Bugaya di Parlimen Semporna.

Fazlan turut menegaskan mengenai keperluan penggubalan undang-undang khas anti lompat parti kerana nasib pengundi tidak seharusnya diperjudikan melalui tindakan wakil rakyat yang berubah sokongan politik sesuka hati tanpa mengira kehendak dan keperluan pengundi.

Apa yang pasti, di sebalik sentimen kenegerian yang bertiup kencang di negeri Sabah, rata-rata pengundi berharapkan aspirasi nasional turut menjadi pertimbangan sebagaimana ketelusan bantuan Prihatin dan Penjana yang terus sampai kepada rakyat.

“Harapnya bantuan yang baru diumumkan PM semalam (Kita Prihatin) diteruskan. Bimbang juga kalau perubahan kerajaan pusat,” kata seorang penjawat awam di Sabah yang jelas terkesan dengan berita perubahan “angin politik” di Kuala Lumpur semalam.

Kurang 48 jam sebelum hari mengundi, tiada pihak boleh mendabik dada sama ada di pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diterajui PN, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atau Warisan Plus bahawa mereka berada di depan kerana dinamik politik yang turut dipengaruhi faktor pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi rakyat.

“Perikatan Nasional dan PM memang popular sekarang, tapi kena akui keadaan ekonomi kurang baik akibat COVID-19,” kata Dr Lee menjelaskan rakyat Sabah mengharapkan lebih usaha daripada kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri.

Mampukah aspirasi nasional menyeimbangi sentimen kenegerian? Hanya rakyat Sabah yang akan menentukannya pada Sabtu ini.

-- BERNAMA


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy