PRN Sabah: Petugas SPR diminta profesional, jaga integriti

24/09/2020 09:32 PM

KOTA KINABALU, 24 Sept  -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh meminta semua petugas SPR menjaga integriti dan profesional serta tidak memihak mana-mana pihak yang bertanding semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang gangguan. 

"Saya mohon semua petugas yang dilantik SPR mengambil segala langkah yang menjamin keselamatan kesihatan, ketelusan proses mengendalikan pilihan raya dan juga untuk memastikan profesionalisme yang tinggi ketika melaksanakan tugas bagi mengekalkan integriti pilihan raya.

"Saya juga menyeru semua pihak yang terlibat supaya memberi kerjasama agar proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan sempurna," katanya pada sidang media khas sempena PRN Sabah di sini, hari ini. 

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. 

Abdul Ghani berkata sejak pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas, semua proses persiapan pilihan raya telah berjalan dengan lancar dan teratur.  

"Pada 22 Sept lalu, Hari Undi Awal juga telah berjalan dengan lancar tanpa insiden yang tidak diingini. Peratusan keluar mengundi 76 peratus iaitu melebihi sasaran SPR  iaitu 75 peratus. 

"Terima kasih kepada parti politik dan calon yang bertanding kerana mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa. Kerjasama ini diharap dapat diteruskan sehingga selesai proses PRN Sabtu ini," katanya. 

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy