Anak muda Sabah mahu suara mereka didengari

25/09/2020 06:48 PM

Oleh Amirul Mohd Sajadi & Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Esok, rakyat Sabah bakal memilih tampuk pemerintahan baharu. Jika anda dapat bayangkan kehangatan atmosfera politik Sabah sepanjang tempoh berkempen, ia masih belum sampai ke kemuncaknya.

Dalam tempoh ini, semua jentera parti digerak habis-habisan bagi memastikan calon yang bertanding berjaya ‘memikat hati’ pengundi di kawasan masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan bahawa sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini yang melibatkan 1,124,598 pengundi.

Daripada jumlah itu, hampir 40 peratus merupakan pengundi muda berusia lingkungan 21 hingga 39 tahun.

Jelas, generasi Z dan generasi milenium mempunyai kuasa dalam menentukan tampuk kepimpinan seterusnya di Negeri Di Bawah Bayu.

Namun hanya terdapat 69 calon berusia di bawah 39 tahun daripada keseluruhan 447 calon yang bertanding pada PRN Sabah ke-16 esok. 

Kaji selidik secara dalam talian yang dijalankan di laman sosial rasmi Bernama mendapati rata-rata anak muda mahukan generasi mereka diberi lebih banyak peluang membawa suara rakyat Sabah. 

Di Twitter @bernamadotcom, sejumlah 87.2 peratus responden daripada 979 undian menyatakan persetujuan berhubung perkara itu.

Sementara itu, hanya 3.3 peratus tidak bersetuju manakala 9.5 peratus responden selebihnya tidak kisah dengan arus politik semasa membabitkan golongan muda.  

Kaji selidik yang sama turut dijalankan di laman Instagram @bernamaofficial melibatkan 1,723 responden.

Daripada jumlah itu, 89 peratus atau 1,534 responden turut menyatakan persetujuan agar lebih ramai anak muda diberi peluang membawa suara rakyat terutama di Sabah.

Di Instagram, hanya 11 peratus atau 190 responden yang tidak bersetuju dalam kaji selidik yang dijalankan selama empat hari bermula Isnin lepas itu. 

Seorang individu yang menggunakan nama profil @Santikeyme pula berpendapat golongan muda yang berasal daripada keluarga ahli politik sahaja yang mendapat manfaat ketika ini, dan suara anak muda di luar lingkup tersebut seolah-olah tidak dipedulikan. 

“Orang politik peduli apa dengan rungutan kita semua, mereka semua jutawan. Anak-anak mereka pengurus syarikat masing-masing, malah ada jadi YB (Yang Berhormat),” katanya menerusi laman sosial Twitter. 

Bagi pengguna Instagram, Beatricecia Joseph, apa yang diperlukan anak muda Sabah ialah sesuatu yang mampu memberi cahaya di hujung terowong baik dari segi pendidikan, capaian Internet dan peluang pekerjaan.

“Sesiapa pun yang menjadi kerajaan harus bersikap proaktif dalam memastikan keperluan asas seperti pendidikan, peluang pekerjaan dan capaian Internet untuk masyarakat setempat sentiasa menjadi keutamaan.

“Sering dilaungkan slogan Sabah Maju, harap ia tidak terus menjadi retorik semata-mata,” katanya.

-- BERNAMA

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy