KOTA KINABALU, 25 Sept -- Selepas 14 hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, esok tibalah hari bagi 1.12 juta pengundi Negeri Di bawah Bayu ini menentukan siapa yang bakal menerajui kerajaan negeri yang baharu untuk lima tahun akan datang.
Pastinya pelbagai janji, harapan dan rayuan dilontarkan parti-parti bertanding baik daripada dua gabungan parti terbesar - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) selain seteru utama, Warisan Plus serta lapan lagi parti dalam mendapatkan sokongan dan perhatian pengundi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN dalam ucapannya pada majlis rapat umum di Tambunan, kira-kira 80 kilometer dari ibu negeri hari ini mengingatkan rakyat Sabah bahawa negeri itu perlu bersama-sama dibangunkan setanding dengan negeri lain.
Tegasnya, ia boleh dilakukan apabila pentadbiran negeri selari dan sehaluan dengan Putrajaya, yang antara lain komited menguruskan isu-isu berkaitan Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengundi seharusnya memilih kerajaan yang dapat mentadbir dan membawa pelbagai kebaikan serta pembangunan kepada rakyat, dan peluang itu seharusnya digunakan dalam PRN ini.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin pula mengingatkan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda supaya sentiasa rasional dan tidak bermain emosi dalam menentukan pilihan pada hari mengundi kerana merekalah penentu masa depan negeri dan negara ini.
Bagi Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sekiranya pengundi dan rakyat terus memberikan sokongan kepada mereka, lebih banyak peluang pembukaan sektor industri dapat dilaksanakan sekaligus membuka peluang pekerjaan yang menjadi antara isu utama di negeri ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dalam sidang medianya berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar peraturan termasuk provokasi sehingga menimbulkan kekacauan pada hari pengundian esok.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapannya pula merayu semua yang terlibat dalam PRN ini tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat, supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam membantu mengawal penularan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights