Kakitangan awam di zon merah perlu kuarantin kendiri selepas mengundi

25/09/2020 09:07 PM

KOTA KINABALU, 25 Sept -- Kakitangan awam yang mengundi di Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak, yang disytiharkan zon merah akibat pandemik COVID-19, diarahkan agar menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas mengundi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai berkata semua Ketua Organisasi hendaklah mengeluarkan arahan tersebut kepada kakitangan di bawah jagaan masing-masing.

"Dalam masa sama, Ketua Organisasi hendaklah juga mengeluarkan surat arahan bekerja dari rumah kepada kakitangan berkenaan mulai 27 Sept ini," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Datu Rosmadi berkata semua penjawat awam perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap masa.

Beliau berkata kegagalan mematuhi SOP dan peraturan serta arahan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan tatatertib menurut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung esok, seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi melibatkan 2,540 saluran mengundi di 741 pusat mengundi.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy