(TERKINI) Sabah mengundi

26/09/2020 08:11 AM

KOTA KINABALU, 26 Sept  -- Tumpuan negara hari ini adalah di Sabah dengan sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa, akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang. 

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 terutama di Sabah yang saban hari menyaksikan peningkatan kes positif baharu virus itu, seramai 1,594 petugas kesihatan turut ditempatkan di pusat mengundi di seluruh negeri.

PRN tersebut diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Berikut adalah perkembangan terkini PRN Sabah:

9.20 pagi -- Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud, di Penampang

9.17 pagi -- Calon BN DUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga bekas Ketua Menteri Sabah tiba di pusat mengundi DUN Usukan di SJKC Chung Hwa, Kota Belud

9.01 pagi -- Calon Dun Inanam Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kudat.

9.00 pagi -- Hampir seribu pemilih berdaftar tiba di pusat pengundian Tambunan di SK Pekan Tambunan.

8.40 pagi - Petugas SPR berpakaian PPE membantu dan mengiringi pengundi berkerusi roda di Sekolah Kebangsaan Bubul, Semporna.

8.30 pagi -- Pengundi berkesempatan berswafoto berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu selepas selesai mengundi di DUN Usukan di SJKC Chung Hwa, Kota Belud.

8.30 pagi -- Antara awal keluar mengundi, berkerusi roda, bertongkat, tidak halang pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi.

8.07 pagi -- Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ditemani isteri Datin Seri Suriyani Shuib mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, Semporna.

7.30 pagi -- Proses mengundi di beberapa pusat mengundi mula berjalan.

7.00 pagi - Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api mula memasuki Sekolah Kebangsaan Sacred Heart untuk mengundi.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy