KOTA KINABALU, 26 Sept -- Tumpuan negara hari ini adalah di Sabah dengan sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa, akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang.
Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 terutama di Sabah yang saban hari menyaksikan peningkatan kes positif baharu virus itu, seramai 1,594 petugas kesihatan turut ditempatkan di pusat mengundi di seluruh negeri.
PRN tersebut diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
Berikut adalah perkembangan terkini PRN Sabah:
5.03 petang -- Pusat pengundian ditutup tepat pukul 5, proses pengiraan undi bermula.
4.22 petang: Jumlah keluar mengundi meningkat 58 peratus setakat pukul 3 petang
3.00 petang -- Statistik keluar mengundi biasa bagi PRN DUN Sabah ke-16 setakat 2 petang, 54 peratus
2 petang -- Statistik keluar mengundi biasa PRN Sabah ke-16 setakat 1.00 tengah hari tadi, 48 peratus
1.33 tengah hari - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata proses pengundian PRN Sabah setakat tengah hari ini berjalan lancar. Lebih 100 individu disyaki memiliki dua kerakyatan yang dipercayai cuba balik untuk mengundi melalui jalan tidak sah di perairan negara berjaya dihalang dan diusir keluar.
1 tengah hari -- Statistik keluar mengundi biasa bagi PRN Sabah ke-16 sehingga 12.00 tengah hari ini, 41 peratus
12.02 tengah hari— setakat jam 11 pagi, kira-kira 32 peratus keluar mengundi-Pengerusi SPR.
SPR menyasarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup sepenuhnya pada pukul 5 petang ini.
“Saya berharap pengundi keluar mengundi kerana masa masih panjang. Ada kawasan tutup pukul 2, pukul 3 dan pukul 5. Pengundi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), dan paling penting jangan lupa bawa kad pengenalan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, Kota Kinabalu.
11.30 pagi -- Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selesai mengundi di SK Serusup bagi kawasan DUN Sulaman
11.15 pagi -- Calon BN DUN Lamag, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin selesai mengundi di SMK Bukit Garam
10.55 pagi -- Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh tiba di SMK Sanzac Kota Kinabalu melakukan tinjauan di pusat pengundian Tanjung Aru
10.14 pagi — Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh melakukan tinjauan di pusat mengundi SJK (C) Chung Hwa, Kota Kinabalu
10.10 pagi — Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Datuk Hajiji Noor selesai mengundi di SK Serusup, Tuaran
9.50 pagi — Calon DUN Tambunan Parti Perikatan Nasional - Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan diiringi isteri tiba di Pusat Pengundian Tambunan di Sk Pekan Tambunan
9.45 pagi -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api Datuk Christina Liew tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sacred Heart
9.20 pagi -- Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud, di Penampang
9.17 pagi -- Calon BN DUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga bekas Ketua Menteri Sabah tiba di pusat mengundi DUN Usukan di SJKC Chung Hwa, Kota Belud
9.01 pagi -- Calon Dun Inanam Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kudat.
9.00 pagi -- Hampir seribu pemilih berdaftar tiba di pusat pengundian Tambunan di SK Pekan Tambunan.
8.40 pagi - Petugas SPR berpakaian PPE membantu dan mengiringi pengundi berkerusi roda di Sekolah Kebangsaan Bubul, Semporna.
8.30 pagi -- Pengundi berkesempatan berswafoto berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu selepas selesai mengundi di DUN Usukan di SJKC Chung Hwa, Kota Belud.
8.30 pagi -- Antara awal keluar mengundi, berkerusi roda, bertongkat, tidak halang pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi.
8.07 pagi -- Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ditemani isteri Datin Seri Suriyani Shuib mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, Semporna.
7.30 pagi -- Proses mengundi di beberapa pusat mengundi mula berjalan.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights