PRN Sabah: Peneraju utama parti selesai mengundi

26/09/2020 02:27 PM

KOTA KINABALU, 26 Sept  -- Beberapa peneraju utama parti telah selesai melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, bermula seawal jam 7.30 pagi.

Kesemua mereka dilihat memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ditetapkan Kementerian Kesihatan sewaktu mengundi di pusat pengundian masing-masing.

Jauh di pantai timur Sabah, kira-kira 522 kilometer dari ibu negeri, Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkemaja putih dilihat menaiki motor untuk ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, Semporna.

Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang hadir ditemani isteri, Datin Seri Suriyani Shuib, selesai mengundi pada pukul 8.16 pagi, seterusnya beramah mesra dengan pengundi yang menunggu giliran di pusat tersebut.

Selain itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah yang juga calon bagi kerusi DUN Sulaman Datuk Hajiji Noor pula selesai mengundi pada pukul 10.10 pagi di pusat mengundi SK Serusup, Tuaran, sambil menunjukkan jari telunjuk dicalit dakwat hitam kepada para media yang mengambil gambar beliau.

Calon DUN Lamag yang juga Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam, Kinabatangan pada 11.15 pagi, sempat menitipkan pesanan kepada pengundi supaya terus mematuhi SOP COVID-19 demi keselamatan bersama.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung yang juga calon Warisan Plus bagi kerusi Tanjong Papat selesai melaksanakan tanggungjawabnya di Majlis Perbandaran Sandakan, Sandakan pada 9 pagi, manakala Pengerusi PKR Sabah yang juga calon DUN Api-Api Christina Liew pula selesai mengundi pada 10.05 pagi di SK Sacred Heart, Kota Kinabalu.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), pula mengundi di SMK Kota Marudu.

Beliau tiba di pusat mengundi seawal jam 7.55 pagi dan selesai menunaikan tanggungjawabnya lima minit kemudian, sebelum beramah mesra dengan para pengundi di kawasan tersebut.

Turut tidak melepaskan peluang untuk mengundi ialah calon PN iaitu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi kerusi DUN Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menunaikan tanggungjawabnya di SK Pekan Tambunan pada jam 9.50 pagi.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) pula menjadi antara pengundi terawal menyelesaikan tanggungjawab mengundi di SK Pekan Keningau.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu untuk penggal berikutnya, dengan proses pengundian melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa yang dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada jam 5 petang ini.

-- BERNAMA

 

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy