Suasana berbeza di kem GRS, Warisan sebaik keputusan tidak rasmi diketahui

26/09/2020 10:05 PM

KOTA KINABALU, 26 Sept -- Dua suasana berbeza menyelubungi kem Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus sebaik sahaja keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 diketahui.

GRS, yang dibentuk menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan sekutu mereka Parti Bersatu Sabah (PBS), dilihat meraikan kemenangan di Magellan Sutera Resort seawal 9 malam.

Menerusi hantaran di Facebook PN, para penyokong dan pemimpin utama dilihat bersorak, menjerit serta bertepuk tangan apabila satu persatu keputusan kemenangan tidak rasmi yang berpihak kepada mereka diumumkan sehingga memperoleh majoriti mudah.

Antara yang kelihatan di Magellan Sutera Resort ialah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi PN Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor dan timbalannya, Datuk Masidi Manjun.

Sementara itu, suasana suram kelihatan di kem Warisan Plus apabila tidak semua kelibat pemimpin utama hadir di Rumah Yayasan Sabah yang menjadi lokasi parti mengetahui keputusan pilihan raya mengejut yang menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua seteru.

Antara yang kelihatan di kem itu ialah Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony dan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Media berkumpul di luar kawasan itu sejak 7 malam bersama-sama penyokong parti namun mereka tidak dibenarkan masuk.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 10 malam ini.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy