GRS dakwa bentuk kerajaan Sabah dengan majoriti mudah - Bung Moktar

26/09/2020 10:08 PM

KOTA KINABALU, 26 Sept -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendakwa membentuk kerajaan baharu Sabah setelah memperolehi majoriti mudah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa gabungan itu dianggotai BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah memperoleh 37 kerusi berbanding 20 kerusi oleh Warisan Plus setakat ini.

Bung membuat dakwaan tersebut dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNO Sabah, di sini, malam ini.

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi termasuk 13 kerusi baharu pada pilihan raya kali ini.

“Saya selaku Pengerusi BN Sabah, ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah yang ingin berubah daripada jajahan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“GRS sedang berbincang untuk menentukan hala tuju dan juga masalah lain dan kita akan memastikan kerajaan baharu ini akan telus dan terus membela rakyat Sabah,” kata Bung Moktar. 

Beliau berterima kasih kepada seluruh jentera UMNO dan rakan komponen lain yang telah ‘berkampung’ di Sabah untuk membantu mereka.

“Saya cukup yakin insya-Allah kerajaan baharu ini akan dapat diwujudkan atas semangat setiakawan dan kami akan membincang dengan terperinci hala tuju ke arah mana kerajaan ini,” katanya yang memenangi kerusi baharu DUN Lamag pada pilihan raya ini.

Menjawab soalan siapa yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu , Bung Moktar berkata, ia akan dibincangkan secepat mungkin.

Berkenaan dengan kemungkinan akan wujud permasalahan dalam isu perkongsian kuasa bersama PN dalam pemerintahan kerajaan negeri Sabah, Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan berkata: “Masalah tidak akan timbul , jika kita tidak timbul masalah.”  

Turut hadir meraikan kemenangan GRS termasuklah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan pemimpin politik Sabah.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy