Pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah amat bersesuaian - PBS

28/09/2020 05:28 PM

KOTA KINABALU, 28 Sept -- Parti Bersatu Sabah (PBS) berpandangan keputusan mencalonkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 adalah amat bersesuaian sekali.

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu amat konsisten dengan cadangan dan pandangan PBS ketika proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, ketika parti lain membuat keputusan mereka berdasarkan kepada keputusan PRN yang baru selesai.

Beliau berkata, PBS juga yakin dengan sokongan ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji akan mampu melaksanakan tugasnya dengan baik berasaskan kepada pengalaman luas beliau sebagai bekas anggota kanan Kabinet Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah selama tujuh penggal.

“PBS juga percaya Hajiji akan mampu melaksanakan mandat yang diberikan rakyat dan mengetuai Sabah dan pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri untuk semua orang Sabah,” kata Ongkili dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, parti-parti dalam GRS, yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan PBS, secara bersama bersetuju untuk menamakan Hajiji, yang juga Ketua Bersatu Sabah, sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Hajiji, Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, mengesahkan perkara tersebut dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di Istana Negeri, esok pagi.

Sementara itu Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, PBS teruja untuk bekerjasama rapat dengan Hajiji dan akan memberikan ketua menteri yang baru itu sokongan dan kerjasama sepenuhnya, dalam pembentukan kerajaan Sabah.

“Kami yakin menerusi pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baru di bawah GRS, Sabah akan dapat mencatatkan kejayaan baru dan rekod yang boleh kita banggakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy