MALAYSIA MAMPU DAN PERLU BANTU UBAH NARATIF GLOBAL – PENGANALISIS

26/03/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia dan negara lain yang berkongsi aspirasi serupa perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membentuk naratif global serta mendorong reformasi dalam institusi antarabangsa, menurut Pengarah Pengasas Bait Al Amanah, Dr Abdul Razak Ahmad. 

Bercakap dalam forum awam bertajuk "A Fairer World is Possible", Abdul Razak menegaskan bahawa negara kuasa kecil dan sederhana tidak lagi boleh bergantung kepada kuasa besar untuk memimpin dalam isu-isu global seperti keamanan, keadilan dan pembangunan. 

“Negara seperti Gambia, Afrika Selatan, Turkiye dan Qatar membuktikan bahawa saiz tidak menentukan pengaruh. Malaysia perlu melakukan perkara yang sama – mengambil pendirian berprinsip dan memimpin di mana ia boleh,” katanya. 

Forum yang dianjurkan oleh Direktorat Komunikasi Presiden Turkiye (Stratcom) itu menghimpunkan lima pakar Malaysia yang membincangkan keterbatasan sistem global semasa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta bagaimana negara seperti Malaysia boleh memacu usaha ke arah orde dunia yang lebih adil dan inklusif. 

Abdul Razak menggesa ASEAN agar memperluaskan tumpuan mereka melangkaui kerjasama ekonomi dan memainkan peranan lebih aktif dalam diplomasi keamanan dan kemanusiaan. 

Beliau turut mencadangkan satu inisiatif pendidikan global yang menyasarkan komuniti Muslim terpinggir, termasuk di Palestin dan Afrika Sub-Sahara. 

“ASEAN tidak boleh hanya tertumpu kepada perdagangan. Kita perlu bercakap tentang keamanan global, hak asasi manusia dan reformasi institusi antarabangsa. 

“Jika kita mahukan impak jangka panjang, pendidikan adalah titik permulaannya. Kita sudah ada alat digital ... yang diperlukan ialah kemahuan politik,” katanya. 

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani turut sependapat dengan pandanganitu, serta menekankan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 boleh membantu membentuk konsensus serantau mengenai isu global yang mendesak.

Beliau juga menyatakan bahawa diplomasi kuasa sederhana Malaysia mampu memberikan impak besar sekiranya diselaraskan menerusi blok serantau. 

“ASEAN perlu bersuara dalam isu-isu seperti genosid, perubahan iklim dan keadilan antarabangsa. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada kuasa tradisional untuk menentukan agenda global. 

“Jika ASEAN bersatu dalam perkara ini, ia boleh menjadi kuasa bermakna dalam membentuk tadbir urus global,” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohd Iqbal Abdul Wahab merujuk kepada konflik lalu seperti perang Bosnia dan Iraq untuk menyerlahkan kegagalan PBB melindungi populasi rentan.

Meskipun mengkritik kelemahan PBB, Iqbal menegaskan bahawa Malaysia tetap perlu aktif dalam platform badan dunia itu. 

“Di Bosnia, PBB mengisytiharkan zon selamat ... tetapi orang tetap dibunuh. Di Baghdad, penyiasat PBB masih berada di lokasi ketika bom mulai digugurkan. 

“PBB mungkin tidak sempurna, tetapi ia satu-satunya platform global yang kita ada. Malaysia mesti hadir, konsisten dan jujur dalam setiap keterlibatan,” katanya. 

Sementara itu, Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers dari Universiti Malaya (UM) menekankan sejarah panjang Malaysia dalam diplomasi pelbagai hala dan misi keamanan. 

Beliau berkata bahawa Malaysia perlu terus memperjuangkan sistem tadbir urus global yang lebih adil, termasuk memperkukuh representasi negara membangun dalam badan pembuat keputusan seperti Majlis Keselamatan PBB. 

“Sejak merdeka, kita menghantar lebih 40,000 anggota untuk misi keamanan. Kita melatih pasukan pengaman, kita bersuara dan kita menyumbangkan idea seperti Pelan Razali untuk reformasi PBB. 

“Dunia ini bukan hanya tentang lima kuasa besar. Malaysia mesti terus menyeru sistem yang mencerminkan realiti semasa,” katanya. 

Forum itu turut dihadiri Duta Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid serta Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov. 

-- BERNAMA