MALAYSIA HANTAR 50 ANGGOTA PASUKAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE MYANMAR SUSULAN GEMPA BUMI

29/03/2025 01:32 PM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menghantar seramai 50 anggota pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar pada Ahad (30 Mac) bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana susulan gempa bumi yang melanda tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China.  

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa penghantaran itu merangkumi seorang komander kontinjen dan 49 anggota penyelamat bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan dan bencana susulan gempa bumi berkenaan.  

Menurut Kementerian Luar, penghantaran bersepadu itu menggantikan rancangan awal untuk mengerahkan dua pasukan secara berperingkat, berdasarkan kemas kini operasi terkini daripada NADMA.  

"Dengan mengerahkan pasukan penuh dalam satu misi yang diselaraskan, Malaysia berhasrat untuk memaksimumkan impak dan keberkesanan bantuan serta memastikan sumber diagihkan segera ke kawasan keutamaan yang telah dikenal pasti," menurut Kementerian Luar.  

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyelaras semua keperluan visa dan logistik bagi misi NADMA, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon akan memberi sokongan kepada operasi pasukan di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi kemanusiaan. 

Dalam mesej yang dikongsikan pada 28 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap skala kemusnahan itu dan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka. 

Beliau menegaskan solidariti Malaysia bersama negara-negara jiran ASEAN serta kesediaan negara untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan yang sedang dijalankan.  

Kementerian itu turut mengesahkan komitmen teguh Malaysia terhadap kerjasama serantau dan menegaskan kesediaan negara untuk terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana di seluruh ASEAN.  

“Dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan dan daya tahan ini,” menurut Wisma Putra.  

Dalam perkembangan terkini, sekurang-kurangnya 694 orang terbunuh, 1,670 cedera dan 68 lagi dilaporkan hilang akibat gempa bumi kuat di Wilayah Mandalay, Myanmar setakat pagi Sabtu, menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara Myanmar.

Gempa bumi itu menyebabkan kegagalan sistem bekalan elektrik. Rangkaian telekomunikasi juga tidak berfungsi dengan lancar dan beberapa kawasan di Yangon tidak mempunyai isyarat telefon bimbit.   Banyak bangunan mengalami kerosakan dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan, menurut laporan media antarabangsa.  

-- BERNAMA