ASEAN UCAP TAKZIAH, KOMITED SOKONG USAHA BANTUAN GEMPA BUMI DI MYANMAR, THAILAND
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Menteri-menteri Luar ASEAN menyampaikan ucapan takziah serta simpati mendalam kepada rakyat Myanmar dan Thailand susulan gempa bumi dahsyat berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda tengah Myanmar pada Jumaat.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu, para menteri menyatakan bahawa bencana itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar, kecederaan serta kemusnahan meluas, khususnya di Mandalay, Nay Pyi Taw, Bangkok, Chiang Mai dan kawasan sekitarnya.
“ASEAN menzahirkan solidariti dengan keluarga dan komuniti yang terkesan akibat gempa bumi ini serta kesannya,” menurut kenyataan itu.
Para menteri turut mengakui keperluan mendesak untuk bantuan kemanusiaan dan menegaskan bahawa ASEAN bersedia menyokong usaha bantuan serta pemulihan, termasuk melalui penempatan Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT), penggunaan Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) serta mobilisasi pasukan Mencari dan Menyelamat di Kawasan Bandar (USAR), berdasarkan keutamaan yang dikenal pasti oleh Myanmar dan Thailand.
“ASEAN menegaskan komitmen solidariti dan akan bekerjasama rapat dalam menyelaras bantuan kemanusiaan, menyokong serta memudahkan operasi bantuan, dan memastikan tindak balas kemanusiaan yang tepat pada masanya serta berkesan, dengan bantuan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre),” katanya lagiu.
Sementara itu, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah menyatakan komitmen untuk membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha pemulihan selepas bencana itu.
Malaysia akan menghantar pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) seramai 50 anggota melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Yangon pada Ahad.
Singapura, melalui Kementerian Hal Ehwal Luar, mengumumkan kesediaannya menggerakkan Kontinjen Operasi Lionheart bagi operasi mencari dan menyelamat serta bantuan bencana di kawasan terjejas.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut menyampaikan ucapan takziah serta menyatakan kesediaan Indonesia untuk membantu usaha pemulihan di Myanmar dan Thailand.
Setakat ini, gempa bumi berkenaan telah meragut 1,002 nyawa, mencederakan 2,376 orang serta menyebabkan 30 individu masih hilang, menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.
Banyak bangunan dilaporkan mengalami kerosakan dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan, menurut laporan media antarabangsa.
-- BERNAMA