AIC 2025, PLATFORM MANFAATKAN PELUANG PERTUMBUHAN SERANTAU, GALAK KEMAMPANAN - SC

26/03/2025 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025 akan menjadi platform libat urus untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan serantau dan menggalakkan kemampanan, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengarah Urusannya, Datin Paduka Azalina Adham berkata ASEAN mempunyai kelebihan dari segi demografi berikutan rantau ini mempunyai jumlah penduduk seramai lebih 600 juta orang dan rantau yang paling pesat berkembang di dunia. 

“Tumpuan utama AIC 2025 ialah melihat profil ASEAN dari segi populasi ASEAN itu sendiri dan rantau ASEAN+3 serta meninjau peluang dan pertumbuhan di rantau ini,” katanya pada taklimat media AIC 2025 hari ini.

Dianjurkan SC, AIC 2025 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 9 April 2025. Ia dijangka menghimpunkan 400 peserta dari negara-negara anggota ASEAN dan rantau ASEAN+3.

Persidangan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Peserta utama termasuklah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Pengangkutan dan Menteri Kedua Kewangan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada masa sama, Azalina berkata Perdana Menteri akan melancarkan Panduan Penzahiran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Ringkas ASEAN untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Rantaian Bekalan.

“CGS International Securities Malaysia akan melancarkan cabaran pelaburan bagi pelajar universiti untuk mencuba dan membiasakan diri dengan pasaran modal. 

“Kami turut menjangkakan pengumuman oleh Perdana Menteri mengenai dagangan saham pecahan dan itu beberapa pelancaran yang dijangkakan,” katanya.

-- BERNAMA