INDEKS HARGA PENGELUAR CATAT KENAIKAN SEDERHANA 0.3 PERATUS PADA FEBRUARI 2025
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) mencatatkan peningkatan tahun ke tahun 0.3 peratus pada Februari 2025, lebih perlahan berbanding kenaikan 0.8 peratus yang direkodkan pada Januari 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata peningkatan sederhana itu dipacu oleh sektor perrtanian, perhutanan dan perikanan, meskipun terdapat penurunan dalam sektor perlombongan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan itu diterajui oleh pertumbuhan tanaman kekal, yang menyumbang peningkatan 15.2 peratus tahun ke tahun, berbanding kenaikan 16.5 peratus pada Januari 2025.
"Pertumbuhan subsektor penanaman tanaman kekal sebagai faktor utama, meningkat 26.1 peratus. Bagaimanapun, sektor perlombongan terus turun, mencatatkan penyusutan 9.7 peratus, dengan penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah merosot 9.8 peratus dan pengekstrakan gas asli (-9.4 peratus).
"Sektor pembuatan mencatatkan penurunan perlahan 0.3 peratus, berbanding penyusutan 0.6 peratus pada bulan sebelumnya, dengan penurunan terbesar disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-12.7 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-3.2 peratus)," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sektor bekalan elektrik dan gas mencatatkan penurunan sederhana 0.2 peratus, manakala sektor bekalan air meneruskan trend positifnya dengan peningkatan 2.9 peratus.
Mohd Uzir berkata pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat sederhana 0.1 peratus pada Februari 2025, perlahan berbanding 0.3 peratus pada Januari 2025.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.4 peratus, berbanding penurunan 3.9 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan dalam perikanan (5.9 peratus) dan penanaman tanaman kekal (1.6 peratus).
“Sektor pembuatan meningkat sebanyak 0.3 peratus, mengekalkan kadar yang sama seperti pada bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh kok dan produk petroleum ditapis (0.9 peratus) dan produk makanan (0.7 peratus)," katanya.
Sebaliknya, sektor perlombongan menyusut 3.2 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh pengekstrakan gas asli (-3.5 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-3.2 peratus).
Dalam sektor utiliti, sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.3 peratus, manakala sektor bekalan air mengalami penurunan 1.8 peratus.
Mengulas lanjut mengenai pengeluaran tempatan IHPR mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata indeks bahan mentah untuk pemprosesan lanjut dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen kekal tidak berubah dari tahun ke tahun, manakala indeks barang siap meningkat 0.7 peratus, disokong oleh peningkatan 1.7 peratus dalam indeks kelengkapan modal.
"Pada asas bulan ke bulan, kedua-dua indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan barang siap mencatatkan peningkatan sederhana 0.3 peratus, manakala indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turun perlahan 0.1 peratus," katanya.
Sementara itu, DOSM berkata ia akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) di bawah pengerusi ASEAN 2025 Malaysia, bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama statistik untuk pembangunan serantau yang mampan.
“Kerajaan telah mengisytiharkan 20 Okt sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan,’ manakala Hari Perangkaan Sedunia Keempat, yang disambut pada tarikh yang sama pada 2025, akan membawa tema 'Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone,” katanya.
-- BERNAMA