ASEAN KEKAL PLATFORM PENTING BAGI MEMBINA KEPERCAYAAN, KONSENSUS

Penasihat di Sekretariat Nasional ASEAN-Malaysia, Kementerian Luar, Datuk Jojie Samuel
15/10/2025 05:20 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di sini hujung bulan ini dijangka menjadi medan penting untuk memperkukuh peranan blok serantau itu sebagai platform utama dialog pelbagai hala, sekali gus memperdalamkan penglibatan serta memperluas kerjasama antara pemimpin dunia.

Penasihat di Sekretariat Nasional ASEAN-Malaysia, Kementerian Luar, Datuk Jojie Samuel berkata perhimpunan peringkat tinggi tahun ini berlangsung pada masa genting ketika rantau ini berdepan perkembangan geopolitik global dan ekonomi yang berubah pantas.

Beliau berkata isu mendesak, daripada konflik di Gaza dan ketidaktentuan ekonomi global, krisis berpanjangan Myanmar, pertikaian sempadan Thailand-Kemboja yang semakin meruncing, sehinggalah cabaran iklim yang menjejaskan rantau ini, semuanya menuntut perpaduan lebih kukuh dan tindakan bersama.

“Ia antara kesempatan jarang apabila pemimpin global berhimpun di rantau ini. Sudah tentu kita akan berbeza pandangan tentang beberapa isu. Palestin dan Gaza contohnya.

“Tetapi yang penting, Sidang Kemuncak ASEAN akan menjadi peluang untuk kita duduk semeja, berunding dan menyatakan pandangan secara terbuka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bekas Duta Besar Malaysia ke Thailand itu menegaskan peranan ASEAN sebagai penganjur kekal penting dalam membina kepercayaan dan persefahaman demi mengekalkan kestabilan serantau dalam keadaan global yang semakin kompleks.

“Isu akan sentiasa wujud, tetapi yang penting ialah bagaimana kita menanganinya, bagaimana kita menyuarakan kebimbangan, dan bagaimana kita mengekalkan komunikasi,” katanya.

Dalam wawancara yang turut menyentuh situasi di Myanmar dan pertikaian sempadan Kemboja-Thailand yang berlarutan, Jojie menekankan keperluan membina keyakinan dan kepercayaan untuk menyelesaikan konflik serantau berpanjangan itu.

Katanya, apa yang kurang ketika ini ialah rasa saling percaya antara pihak yang terlibat, justeru usaha perlu dipertingkatkan untuk memperkukuh komunikasi dan penglibatan demi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“Orang ramai perlu lebih banyak berbincang dan berinteraksi bagi membina keyakinan dan kepercayaan. Isu-isu ini bukan sahaja berkisar pada ASEAN tetapi memberi kesan kepada seluruh dunia,” ujarnya.

Bagi Myanmar, beliau berkata ASEAN terus memperjuangkan penyelesaian yang dipimpin Myanmar sendiri bagi krisis itu, sambil menegaskan rakyat Myanmar mesti menjadi sebahagian daripada proses damai.

Pada masa sama, katanya Malaysia memainkan peranan membina sebagai pengantara jujur dalam memudah cara keamanan antara Thailand dan Kemboja, memastikan gencatan senjata kekal terpelihara.

“Masalah itu mesti diselesaikan secara sukarela antara kedua-dua pihak dengan sokongan ASEAN dan rakan luar bagi mengekalkan keamanan,” katanya.

Jojie turut memuji peranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN, sambil menggambarkan beliau mengambil pendekatan aktif dan menyeluruh dalam menangani isu-isu yang melanda rantau ini.

“Beliau ada kepimpinan. Beliau memahami sepenuhnya isu. Kita dapat lihat beliau begitu komited dan aktif sebagai Pengerusi ASEAN.

“Beliau berkomunikasi dengan semua pemimpin ASEAN lain untuk mendapatkan persetujuan mereka serta memastikan mereka sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan semasa. Jadi bagi seorang pengerusi ASEAN, itu amat terpuji,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.

Diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian”, sidang kemuncak kali ini dijangka antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran blok serantau itu.

Selain pemimpin ASEAN, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara lebih 20 pemimpin dunia yang dijangka hadir.

Ini juga merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, dengan jawatan pengerusi sebelum ini pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

-- BERNAMA