TPM AHMAD ZAHID SERU STRATEGI PENGURUSAN BENCANA ASEAN YANG INKLUSIF & LESTARI DI KEMBOJA
Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 15 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu menyeru pendekatan yang inklusif dan lestari dalam menangani bencana alam yang menjejaskan rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) bukan sekadar kerjasama serantau tetapi satu pakatan kukuh untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda semasa bencana.
“Marilah kita memperbaharui komitmen bersama untuk membina ASEAN yang bersedia menghadapi bencana, berpusatkan rakyat dan dihormati dunia kerana peranannya sebagai peneraju dalam usaha membina ketahanan menghadapi bencana.
“Ketahanan bukan hanya berkaitan sistem dan teknologi, tetapi juga tentang manusia. Ia perlu bersifat holistik, inklusif dan lestari, sambil memastikan tiada siapa yang tercicir,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada AADMER ke-14 di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menyumbang RM420,000 (US$100,000) kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN bagi menyokong inisiatifnya.
Beliau juga mencadangkan tiga tonggak utama untuk pelan mitigasi bencana yang lebih menyeluruh, iaitu inovasi dan teknologi, perkongsian dan solidariti, serta keterangkuman dan ketahanan komuniti.
“Kita mesti memanfaatkan data, kecerdasan buatan dan platform digital untuk meningkatkan tindakan jangkaan serta sistem amaran awal bagi mengesan risiko sebelum menjadi tragedi.
“Kerajaan tidak boleh melakukannya sendirian. Kita memerlukan masyarakat sivil, sektor swasta dan rakan global untuk bersama-sama.
“Kita mesti memperkasa kepimpinan tempatan, memberi ruang kepada perspektif gender dan melindungi mereka yang paling terdedah,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kepada kerajaan serantau bahawa Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua negara anggota untuk merealisasikan visi ini - ke arah sebuah ASEAN yang menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan dan melindungi mata pencarian.
Ahmad Zahid menyuarakan mesej penting itu ketika Asia Tenggara berdepan pelbagai bencana alam seperti taufan, gempa bumi dan kemarau, yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi, memusnahkan mata pencarian petani serta infrastruktur penting.
Meskipun rantau ini dikurniakan sumber asli yang banyak daripada mineral hingga gas dan minyak mentah, ia turut terdedah kepada bencana alam yang boleh mengekang kemakmuran ekonomi bagi kira-kira 670 juta penduduknya.
Dalam ucapan alu-aluannya, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata Asia Tenggara adalah sebuah rantau yang kaya dengan kepelbagaian dan dinamik, namun ia juga antara kawasan paling terdedah kepada bencana di dunia.
“Risiko yang kita hadapi semakin kompleks. Perubahan iklim mendorong bencana alam yang lebih kerap dan teruk, manakala urbanisasi pesat serta kerentanan teknologi menambah dimensi baharu risiko,” katanya.
Pemimpin ASEAN sedang memperkukuh mekanisme pengurusan risiko semula jadi ketika petani dan komuniti luar bandar di Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam terus menderita akibat bencana berkaitan cuaca saban tahun, yang menolak ribuan orang ke kancah kemiskinan.
“Kita juga mesti terus membina kapasiti di peringkat nasional dan tempatan untuk membantu komuniti mencegah, mengurangkan, bersedia, bertindak balas serta pulih daripada bencana dan kecemasan dengan lebih berkesan.
“Pelaburan jangka panjang dalam ketahanan dan perlindungan akan membantu mengurangkan kesan bencana serta melindungi nyawa, mata pencarian dan kemajuan pembangunan,” kata Kim Hourn.
-- BERNAMA