UKM, ACE PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DALAM TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Tenaga ASEAN (ACE) bagi memperkukuh jaringan penyelidikan, inovasi dan pembangunan dasar tenaga di rantau ini khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta peralihan tenaga mampan.
Pengarah SERI Profesor Dr Norasikin Ahmad Ludin berkata kerjasama itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan UKM sebagai peneraju penyelidikan tenaga di rantau ini malah memperluas peranannya dalam menterjemah inovasi kepada penyelesaian yang memberi impak nyata kepada komuniti dan dasar tenaga ASEAN.
“Melalui kolaborasi ini, UKM bukan hanya menjalankan penyelidikan akademik tetapi turut berperanan dalam membangunkan penyelesaian teknologi dan dasar berasaskan bukti bagi menyokong pelaksanaan agenda tenaga bersih dan pencapaian pelepasan sifar bersih ASEAN menjelang 2050,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama itu ditandatangani oleh Naib Canselor UKM Profesor Dr Sufian Jusoh dan Pengarah Eksekutif ACE Datuk Razib Dawood di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
Ini merupakan kali pertama UKM memeterai perjanjian bertulis dengan ACE walaupun kerjasama antara kedua-dua pihak telah lama terjalin dalam beberapa acara berkaitan tenaga sebelum ini.
Menurut Norasikin, kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh promosi dan penyebaran hasil penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pembangunan dasar tenaga serantau.
Ia juga merangkumi latihan berkaitan tenaga, penganjuran persidangan dan seminar selain peluang mobiliti pelajar serta penyelidik bagi memperluas jaringan akademik dan perkongsian kepakaran di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata UKM akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti teknologi solar generasi baharu, model tenaga hibrid serta analisis dasar tenaga serantau yang dapat menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC).
"Kerjasama ini memberi peluang besar kepada penyelidik untuk menyumbang secara langsung terhadap pembangunan dasar tenaga berimpak tinggi serta menjadikan hasil inovasi penyelidikan sebagai penyelesaian sebenar kepada cabaran tenaga di rantau ini,” katanya.
Norasikin berkata ACE, sebagai penyelaras utama Grid Tenaga ASEAN (APG) dan badan rujukan dasar tenaga serantau, memainkan peranan penting dalam memastikan penyelidikan yang dijalankan oleh UKM dapat diterjemah kepada impak sebenar melalui intervensi dasar, strategi pelaburan dan pengukuhan keupayaan tenaga di seluruh ASEAN.
-- BERNAMA