AACB 2025 PERKASA USAHA PENGANTARABANGSAAAN KRAF NEGARA KE PERINGKAT GLOBAL
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- ASEAN Arts & Crafts Bazaar 2025 (AACB 2025) yang sedang berlangsung di Kompleks Kraf di sini merupakan sebuah inisiatif signifikan dalam memperkasakan usaha pengantarabangsaan industri kraf negara ke peringkat global.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata program itu menjadi platform penting dalam memperkenalkan keunikan seni kraf Malaysia kepada masyarakat luar di samping memupuk semangat perpaduan melalui pertukaran budaya khususnya antara negara ASEAN.
“AACB 2025 turut membuka ruang kepada para usahawan dan pengusaha kraf untuk meneroka ruang pasaran baharu, memperluas jaringan perniagaan dan meningkatkan daya seni produk mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya semasa berucap pada Majlis Jalinan Media dan Apresiasi Strategik di Kompleks Kraf hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Mohd Al-Hafizi Ab. Bakar dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk ‘Ainu Sham Ramli.
AACB 2025 diadakan buat julung-julung kali dari 10 hingga 20 Okt bersempena Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-34.
Program itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk kraf baharu serta dari Institut Kraf Negara, produk kraf ASEAN, pameran Galeri Miniatur, pameran Khas Tenun Pahang Diraja, demonstrasi kraf, peragaan fesyen dan eksplorasi kraf.
Antara lain ialah demonstrasi kraf antarabangsa yang melibatkan penunjuk cara yang didatangkan khas dari Brunei (songket), Kemboja (sutera ikat tenun), Laos (tenunan), Thailand (barang kemas), Vietnam (hasil rimba), Timor Leste (sulaman tais), China (anyaman buluh), Uzbekistan (ukiran seramik) dan Turkiye (sulaman tradisional).
Dalam pada itu, Shaharuddin berkata majlis yang diadakan sempena AACB 2025 itu menjadi wadah bagi menghargai sokongan media, selain bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara rakan strategik, pemain industri dan Kraftangan Malaysia.
“Rakan strategik dan pemain industri memainkan peranan yang amat penting dalam memperkasakan industri kraf negara. Dengan sokongan, kepakaran dan jaringan yang dimiliki, mereka membantu memperluas capaian pasaran, memperkukuh nilai komersial industri kraf serta memperkenalkan inovasi yang relevan dengan permintaan semasa.
“Melalui kerjasama yang berterusan ini, saya yakin ruang untuk inovasi, pertukaran idea serta pembangunan kapasiti akan terus berkembang sekali gus membawa industri kraf ke tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing di peringkat domestik dan global,” katanya.
Beliau berkata sokongan media turut menyumbang kepada pembangunan jenama, pengiktirafan antarabangsa dan pertumbuhan ekonomi kreatif negara selain berharap media terus memainkan peranan aktif dalam mengetengahkan kisah kejayaan, keunikan produk dan nilai budaya yang terkandung dalam setiap produk kraf di negara ini.
Sesi penyampaian hadiah turut diadakan pada majlis itu bagi CIPTA Pertandingan Pereka Kraf Muda Barang Kemas yang berlangsung pada 4 dan 5 Februari lepas.
-- BERNAMA