ASEAN: RAPID RAIL SEDIA TAMBAH JUMLAH, KEKERAPAN TREN

KUALA LUMPUR, 16 Okt -- Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Nor Azmi Mohd Yusof ketika Majlis Taklimat Media Penambahbaikan Operasi Rel Rapid KL di Menara Prasarana hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
16/10/2025 07:44 PM

PETALING JAYA, 16 Okt (Bernama) -- Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) bersedia menambah jumlah dan kekerapan tren ketika Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berlangsung, dari 26 hingga 28 Okt ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Nor Azmi Mohd Yusof berkata pihaknya akan meneliti semula jadual operasi, dan sekiranya perlu waktu puncak turut dipanjangkan bagi memudahkan pengguna.

“Kami akan beroperasi seperti biasa menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025, namun mengambil maklum penutupan beberapa laluan utama.

“Sekiranya perlu, Rapid Rail akan menambah tren dan melanjutkan waktu kekerapan pada waktu puncak bagi memudahkan pengguna susulan penutupan jalan,” katanya kepada sidang media hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara akan ditutup secara berperingkat dari 26 hingga 28 Okt sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kawasan di sekitar KLCC dijangka mengalami gangguan lalu lintas yang paling ketara dan orang ramai dinasihat menggunakan pengangkutan awam sepanjang sidang kemuncak berlangsung. 

Nor Azmi dalam pada itu turut memaklumkan perolehan 27 set tren baharu (KLAV27) bagi Laluan Kelana Jaya serta pemasangan pintu platform automatik di laluan Monorel KL siap sepenuhnya Disember tahun lepas.

Bagi laluan Ampang dan Kelana Jaya pula, proses tender dan pelantikan kontraktor bagi pemasangan pintu platform automatik sedang dijalankan dan pemasangan dijangka bermula hujung tahun ini dan siap sepenuhnya dalam tempoh 16 bulan.

“Dua laluan ini sahaja yang masih belum mempunyai sistem penghadang automatik. Kami telah memulakan proses untuk memasang penghadang sementara yang akan menutup sehingga 70 peratus ruang platform bagi mengurangkan risiko penumpang terjatuh,” katanya.

Beliau berkata Rapid Rail juga sedang meneliti semula laluan perkhidmatan bas sokongan dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi melancarkan pergerakan bas.

Menurut Nor Azmi, ia sebagai langkah menyokong sasaran merekodkan purata 1.35 juta perjalanan penumpang sehari menjelang Disember tahun ini.

Beliau berkata Rapid Rail turut meningkatkan latihan pengurusan krisis secara berkala bagi memastikan petugas barisan hadapan sentiasa bersiap siaga, selain memperkukuh peranan penyelia tempat kejadian bagi memastikan penyelarasan dan tindakan di lapangan lebih teratur terutama ketika berlaku isu gangguan perkhidmatan.

-- BERNAMA