ASEAN: PEMETERAIAN ACFTA 3.0, PENYERAHAN KEPENGERUSIAN KEPADA FILIPINA TUMPUAN HARI TERAKHIR
Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian dan Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina akan menjadi acara tumpuan utama pada sidang kemuncak hari ini.
Berdasarkan jadual rasmi program, majlis pemeteraian itu dijadualkan bermula pada 9 hingga 9.20 pagi dengan dihadiri pemimpin dan delegasi ASEAN serta China.
ACFTA 3.0 menandakan pencapaian baharu dalam kerjasama strategik ASEAN-China yang bermatlamat memperkukuh daya tahan ekonomi serantau serta memperlihatkan komitmen blok serantau itu terhadap keterangkuman dan kemampanan.
Acara itu disusuli dengan Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 dari 9.30 hingga 10.30 pagi, melibatkan pemimpin dan delegasi kedua-dua pihak. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang di luar persidangan.
Pemimpin ASEAN turut dijadualkan menyertai siri mesyuarat dan sesi bersama rakan dialog utama termasuk China, New Zealand dan Australia.
Selain itu, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand turut dijadualkan berlangsung pada 12 tengah hari, disusuli Majlis Makan Tengah Hari Gala ASEAN-New Zealand yang dihadiri pemimpin ASEAN.
Seterusnya, Sidang Kemuncak ASEAN-Australia kelima akan diadakan pada 2.30 petang yang menjadi platform pemimpin ASEAN dan Australia membincangkan langkah meningkatkan kerjasama dua hala serta mengukuhkan ekonomi.
Majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta penyerahan Kepengerusian ASEAN 2026 kepada Filipina akan menjadi acara kemuncak, yang dijadualkan berlangsung dari 3.45 hingga 4.15 petang.
Acara akan diakhiri dengan sidang media oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN pada 4.30 petang.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari bermula Ahad menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.
-- BERNAMA