KEPENGERUSIAN ASEAN OLEH MALAYSIA CAPAI KEMUNCAK PADA HARI TERAKHIR SIDANG KE-47 - PMO
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia akan mencapai kemuncaknya hari ini, menandakan penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selepas tiga hari berlangsungnya pelbagai perbincangan dan dialog konstruktif yang telah mengangkat seni diplomasi serantau ke tahap lebih gemilang.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) disiarkan secara langsung di Facebook Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini berkata bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia berjaya memperkukuh kerjasama serantau serta memastikan ASEAN terus berdiri teguh, relevan dan dihormati di persada dunia.
Sesi semalam katanya, menyaksikan lima sidang penting dipengerusikan oleh Perdana Menteri termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea, Malaysia telah menggesa pengiktirafan terhadap Palestin dan menyambut baik Pelan Tindakan Kerjasama 2026-2030 yang akan memperkukuh hubungan serantau.
“Agenda ekonomi turut mendominasi sidang semalam melalui Sidang Kemuncak ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menekankan kerjasama dalam ekonomi digital, tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan bagi memastikan pertumbuhan inklusif di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Beliau berkata Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang turut diadakan di ibu negara menghimpunkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Australia, Jepun, India dan New Zealand, yang diiktiraf sebagai platform utama untuk menangani isu-isu strategik serantau.
“Lebih bermakna, sidang kemuncak ini dimulakan 20 tahun lepas di lokasi yang sama, menandakan keberkesanan forum ini dalam memperkukuh kestabilan serantau,” katanya.
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia memberi penghargaan kepada PBB atas usaha ke arah mencapai perdamaian di Palestin dan menegaskan komitmen untuk terus menyokong segala usaha tersebut.
“Dalam semangat muhibah, Perdana Menteri dan isteri turut menganjurkan majlis makan malam gala ASEAN yang dihadiri pemimpin ASEAN, rakan dialog serta tetamu kehormat pengerusi,” katanya.
Tunku Nashrul berkata pada hari terakhir sidang kemuncak hari ini, Perdana Menteri akan mengadakan beberapa sesi dua hala serta mempengerusikan beberapa sidang kemuncak termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5 yang akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pembangunan mampan.
“Antara kemuncak sidang hari ini ialah perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China yang akan memperkukuh hubungan ekonomi serantau,” katanya.
Beliau berkata sidang kemuncak hari ini akan diakhiri dengan majlis penutupan rasmi dan sesi penyerahan kepengerusian ASEAN kepada Filipina.
Menurutnya, kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuktikan Malaysia telah menunaikan amanah selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan cemerlang di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
“Malaysia juga ingin menzahirkan sokongan padu kepada Filipina yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan ASEAN. Semoga semangat perpaduan dan kerjasama yang telah dibina di Kuala Lumpur ini akan terus subur dan membawa manfaat yang berkekalan buat seluruh komuniti ASEAN,” kata beliau.
-- BERNAMA