PRESIDEN BRAZIL AKHIRI LAWATAN RASMI PERTAMA KE MALAYSIA SEMPENA SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-47
SEPANG, 28 Okt (Bernama) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berlepas pulang hari ini selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.
Pesawat khas yang membawa Lula berlepas pada 8.15 pagi selepas beliau diberi penghormatan karpet merah, termasuk tabik hormat daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Brazil dan delegasinya.
Lawatan tiga hari Lula ke Kuala Lumpur merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak memulakan penggal baharu sebagai Presiden Brazil pada Januari 2023.
Dalam sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam, Lula menyatakan sokongan padu terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok BRICS.
Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik yang berkongsi nilai bersama serta berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi.
Pada 24 Okt 2024, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi disenaraikan sebagai negara rakan kepada BRICS - blok ekonomi yang mewakili kira-kira satu perlima perdagangan dunia. BRICS merujuk kepada kumpulan ekonomi sedang pesat membangun yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Sebagai Pengerusi BRICS, Lula merupakan Presiden Brazil pertama yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sejak negaranya menjadi rakan dialog sektoral blok berkenaan pada 2022.
Sebagai negara terbesar di Amerika Selatan, beliau berkata Brazil komited untuk bekerjasama dengan semua negara bagi menggalakkan penglibatan dan kerjasama global yang lebih luas dalam menghadapi perubahan ketertiban dunia serta menolak polarisasi geopolitik.
Lula turut memaklumkan bahawa perdagangan dua hala antara Brazil dan negara rakan utamanya, termasuk Malaysia, berjumlah sekitar US$12 bilion, yang disifatkannya masih sederhana berbanding kekuatan ekonomi pasaran berkenaan.
Pada 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM20.36 bilion (US$4.46 bilion).
Sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada 26 Okt, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 30 pemimpin dunia termasuk dari rantau ASEAN serta Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan bagi memperkukuh kerjasama serta membincangkan isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berakhir hari ini.
-- BERNAMA