PERKONGSIAN 50 TAHUN ASEAN-NEW ZEALAND TERUS PERKUKUH
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkongsi suasana ceria pada permulaan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand apabila kedua-duanya berjenaka mengenai menu makan tengah hari.
Selaku tuan rumah Jamuan Makan Tengah Hari Gala ASEAN-New Zealand hari ini, Anwar secara berjenaka bertanya kepada Luxon, sama ada daging lembu yang dihidangkan diterbangkan khas dari New Zealand, dan Luxon membalasnya dengan berkata “sudah tentu, itu yang terbaik di dunia.”
Perdana Menteri Anwar kemudian berkata “baiklah, terima kasih – usah bimbang segalanya disediakan secara halal”.
Dalam ucapannya beliau berkata perkongsian ASEAN-New Zealand yang telah terjalin selama lima dekad terus berpaksikan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Kerjasama ASEAN dan Wellington bukan sahaja meraikan sejarah bersama, tetapi juga meneroka pendekatan baharu untuk memperkukuh hubungan dan membuka peluang kerjasama.
“Kita berada di sini untuk meraikan perkongsian ini bukan sahaja kerana ia sudah bertahan sejak sekian lama, tetapi juga untuk mencari kaedah bagi mempertingkatkan hubungan kita.
“New Zealand bersama-sama dengan ASEAN pada waktu senang mahupun susah. Daripada krisis kemanusiaan sehingga ketidakpastian global, perbincangan ini tentunya bukan hanya merintis laluan baharu, tetapi juga meneroka peluang baharu,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada acara Diplomasi Halal anjuran New Zealand, mengalu-alukan kesediaan New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
Beliau berkata industri halal kekal sebagai tonggak utama kerjasama Malaysia-New Zealand, sambil menegaskan kedua-dua negara boleh memperluas peluang melalui Aturan Pelaksanaan Halal (HIA).
Sementara itu, dalam ucapannya Luxon berkata New Zealand dan ASEAN akan terus menjalinkan kerjasama rapat di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif bagi menggalakkan dialog, kestabilan serantau serta orde antarabangsa berasaskan peraturan.
-- BERNAMA