ASEAN PERKUKUH KEAMANAN DAN KEMAKMURAN DI BAWAH KEPIMPINAN MALAYSIA - SETIAUSAHA AGUNG

28/10/2025 04:03 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kekal teguh dalam usaha memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini serta di peringkat global di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata di bawah kepengerusian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan dan peranan sebagai kuasa global untuk keamanan dan kerjasama.

“ASEAN kekal berpegang pada semangat penubuhannya. Sejak ditubuhkan pada 1967, kita sentiasa menekankan keamanan dan kestabilan serantau kerana hanya dengan keamanan dan kestabilan, kita dapat memberi keutamaan kepada kemakmuran, rakyat dan agenda terancang,” katanya.

Kao berkata demikian kepada pemberita dalam temu bual di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Beliau berkata Kepengerusian Malaysia di bawah kepimpinan Anwar memainkan peranan penting dalam melaksanakan pembaharuan di peringkat domestik sambil mengimbangi peranan ASEAN di pentas global.

“Saya berpendapat ASEAN kini bukan lagi sekadar ASEAN serantau, tetapi telah menjadi ASEAN global,” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang sebagai Pengerusi ASEAN meskipun berdepan tahun yang mencabar bagi rantau ini, dan memuji kepimpinan tegas Malaysia dalam menangani pelbagai isu termasuk kemasukan Timor-Leste, kerjasama ekonomi, krisis Thailand-Kemboja serta penglibatan dengan Myanmar.

“Saya boleh katakan bahawa tahun ini amat mencabar bagi ASEAN dan dunia, namun Malaysia telah mengemudi cabaran ini secara strategik dan berjaya mencapai banyak kemajuan dalam tempoh setahun,” katanya.

Kao berkata ASEAN juga terus memperjuangkan multilateralisme dan diplomasi dialog dalam menangani konflik global di bawah kepengerusian Malaysia.

“Kita sentiasa menjadi penyokong kuat kepada diplomasi dialog, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di peringkat global,” katanya.

“Kita mahu melihat konflik di seluruh dunia diselesaikan melalui diplomasi dan rundingan,” katanya sambil menambah bahawa isu seperti Palestin turut dibincangkan dalam sidang kemuncak itu.

Kao berkata perpaduan dan kepusatan ASEAN kekal menjadi asas kepada hubungan luarannya, dengan blok itu terus bekerjasama dengan rakan seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea dan Kesatuan Eropah.

“Perpaduan adalah kekuatan ASEAN. Itu sangat penting,” katanya sambil menambah bahawa ASEAN telah menegaskan semula komitmennya terhadap rakyat, khususnya golongan belia.

“Para pemimpin, menteri dan pegawai kita telah bekerja keras untuk memastikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, dan itulah sebabnya kita mempunyai komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat,” katanya.

Mengenai hala tuju masa depan ASEAN, Kao berkata beliau berbangga kerana ASEAN kini muncul sebagai pemain global utama.

“Saya sangat berbangga kerana ASEAN kini menjadi tumpuan dunia. Semakin banyak negara yang kini lebih bersedia untuk bekerjasama dengan ASEAN,” katanya. 

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa perpaduan, keamanan dan kestabilan ASEAN akan terus memacu visi bersama ke arah 2045.

“Saya berharap kita akan terus bekerjasama dalam semangat yang sama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, mempertahankan perpaduan serta memastikan kita tidak sesekali mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang terletak di tengah-tengah ibu negara Malaysia.

Berpandukan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Kepengerusian Malaysia menumpukan kepada usaha memperkukuh inisiatif ASEAN ke arah membina rantau yang lebih berdaya tahan, berpaksikan rakyat dan berpandangan jauh.

-- BERNAMA