POLAND DAN MALAYSIA PERLU PERKUKUH MULTILATERALISME, KESELAMATAN KOLEKTIF - PRESIDEN DUDA
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Negara bersaiz sederhana seperti Poland dan Malaysia boleh memainkan peranan lebih aktif dalam mewujudkan sistem global yang lebih adil berasaskan keselamatan kolektif dan multilateralisme di tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, kata Presiden Poland Andrzej Duda.
Bercakap pada syarahan umum di Kuala Lumpur pada Rabu, Duda berkata walaupun Poland dan Malaysia bukan kuasa global mahupun negara kecil, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab dan berpotensi untuk menyumbang secara bermakna kepada hal ehwal antarabangsa.
"Keselamatan hari ini bukan pilihan – ia satu keperluan. Poland sebagai negara di sempadan timur Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memahami ancaman, tetapi juga peluang daripada tindakan bersama.
“Kami menolak kembalinya politik pengaruh kuasa besar. Sejarah menunjukkan bahawa ini hanya membawa kepada peperangan dan ketidakstabilan.
“Sistem antarabangsa seharusnya membolehkan kita mengambil bahagian sepenuhnya dalam dialog global,” katanya.
Duda menyampaikan syarahan awam bertajuk “Poland’s Position in the EU: Challenges and Choices” di Asia-Europe Institute (AEI), Universiti Malaya.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (mewakili kerajaan), Duta Poland Krzysztof Dobrowolski dan Timbalan Naib Canselor UM (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Zamri Radzi.
Sementara itu, Duda memuji kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mempromosikan dialog, penyelesaian konflik secara aman dan pembangunan mampan.
Beliau menyatakan Poland dan Malaysia berkongsi kepentingan dalam mempertahankan kedaulatan, memajukan diplomasi dan menyokong sistem global lebih inklusif.
"Negara bersaiz sederhana mungkin tiada kuasa ketenteraan besar atau capaian politik global. Tetapi mempunyai keupayaan mempengaruhi proses antarabangsa melalui diplomasi aktif, inisiatif perdamaian dan pengukuhan multilateralisme dan mempromosikan sistem berasaskan peraturan,” katanya.
Duda juga berpendapat bahawa negara seperti Poland dan Malaysia boleh menjadi “pendukung konstruktif” bagi negara yang menolak penguasaan kuasa besar mahupun peminggiran negara kecil.
“Pengaruh kita tidak berpunca daripada kekuatan ketenteraan, tetapi daripada tindakan, tanggungjawab dan konsistensi dalam usaha antarabangsa,” katanya.
Presiden itu turut menyatakan hasrat Poland untuk memperluas kerjasama dengan negara ASEAN khususnya Malaysia dalam bidang pendidikan, pertahanan, teknologi dan reformasi institusi.
Beliau turut menyokong reformasi institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar lebih mencerminkan realiti semasa dan memastikan penyertaan semua negara tanpa mengira saiz.
"Poland dan Eropah terbuka untuk kerjasama dengan ASEAN. Saya yakin kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.
Duda, yang memegang jawatan sejak Ogos 2015, kini sedang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama 2025.
-- BERNAMA