PM TIBA DI MELAKA UNTUK RASMI HARI TVET NEGARA 2025
MELAKA, 12 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini bagi merasmikan sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025.
Perdana Menteri yang tiba kira-kira 11.05 pagi diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sambutan Hari TVET Negara berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan berakhir esok, turut menawarkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang ditawarkan lebih 60 syarikat dan majikan dari dalam dan luar Melaka.
Sebanyak 12 kementerian terlibat dalam penganjuran sambutan itu, antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun lambang manifestasi komitmen dan iltizam kerajaan untuk menjadikan bidang itu sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran, serta berdaya saing.
Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN keempat (ATC 4th RPD) selama dua hari bermula semalam turut diadakan bersempena sambutan kali ini.
-- BERNAMA