PM KANADA BERLEPAS KE SINGAPURA USAI HADIRI SIDANG KEMUNCAK ASEAN DI KL
SEPANG, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney bertolak ke Singapura hari ini selepas menamatkan lawatan kerja empat harinya ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.
Pesawat khas yang membawa Carney berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.40 pagi selepas diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah berserta kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Carney.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada Mac.
Lawatan kerja itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat dua hala dan menghadiri sidang kemuncak berkenaan sebagai Tetamu Pengerusi.
Di luar persidangan, Anwar dan Carney bersetuju untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan pelaburan kedua-dua negara, sambil meneroka peluang baharu dalam tenaga hijau, inovasi dan pendidikan ke arah pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Carney turut menghadiri sesi panel Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) pada Ahad.
Turut mengucapkan selamat tinggal iaah Perdana Menteri China Li Qiang yang berangkat pada 2.05 petang.
Diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Li memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berlepas dengan menaiki pesawat khas.
Ini merupakan lawatan kedua Li ke Malaysia tahun ini.
Pada sidang kemuncak berkenaan, Li mengesahkan komitmen China untuk memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan dengan rakan kongsi serantau dan menggalakkan keterbukaan dan kerjasama bagi mencipta lembaran baharu pertumbuhan dan kejayaan di Asia Timur.
Beliau berkata China kekal komited untuk melindungi sistem perdagangan multilateral dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak dalam menegakkan multilateralisme sebenar.
Li berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) di Kuala Lumpur, semalam.
Pada sidang kemuncak itu hari ini, ASEAN dan China menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dipertingkatkan, menandakan fasa baharu dalam hubungan perdagangan dua hala antara blok serantau itu dan ekonomi terbesar dunia.
Majlis pemeteraian disaksikan oleh Anwar dan Li.
Sidang Kemuncak ASEAN yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan” dari 26 hingga 28 Okt, menghimpunkan lebih 3,000 delegasi dan pemimpin dari lebih 30 negara dan badan antarabangsa untuk meningkatkan penglibatan dan kerjasama serantau.
Persidangan menutup tirai hari ini.
-- BERNAMA